Vandalisme merujuk kepada kegiatan manusia yang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Kebiasaannya, orang yang melakukan vandalisme adalah orang yang emosinya terganggu dan keinginan melepaskan geram serta untuk menghilangkan kebosanan. Sejak akhir-akhir ini,gejala vandalisme semakin hari semakin meningkat. Hal ini menyebabkan masyarakat setempat untuk mengalami kesukaran dalam menggunakan infrastruktur awam pada masa lapang serta pada masa kecemasan.
Faktor-faktor berlakunya gejala vandalisme adalah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja merupakan golongan yang mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Pada zaman persekolahan, rakan sebaya merupakan komponen utama dalam membentuk seseorang remaja. Hal ini disebabkan rakan sebaya merupakan individu yang akan meluangkan lebih masa dengan setiap remaja. Kebiasaannya, remaja yang terlibat dengan gejala vandalisme adalah remaja yang tidak mempunyai motif untuk belajar dan melakukan semua perkara untuk keseronakan semata-mata. Oleh itu, pemilihan rakan sebaya pada zaman persekolahan adalah sangat penting untuk kehidupan setiap remaja.
Ibu bapa merupakan faktor yang kedua dalam mendorong anak-anak mereka ke arah melakukan gejala vandalisme. Gejala vandalisme yang ibu bapa melakukan adalah seperti tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Hal ini akan menyebabkan anak-anak juga terikut dengan ibu bapa mereka dan tidak akan mematuhi undang-undang jalan raya seperti tidak mematuhi had laju di jalan raya. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme adalah berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Hal ini disebabkan kurangnya kawalan dan bimbingan yang sepenuhnya daripada ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
Selain itu, media massa juga mendorong kepada gejala vandalisme. Media massa mempunyai kuasa pengaruh yang sangat tinggi dan amat kuat . Hal ini kerana paparan yang ditayangkan dalam filem-filem ataupun rancangan-rancangan televisyen yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi pemikiran remaja untuk melakukan vandalisme. Kebiasaannya, golongan remaja mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif apatah lagi tanpa didik dan tunjuk ajar yang sewajarnya.
Langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk membanteras gejala vandalisme adalah penguatkuasaan undang-undang. Pihak berkuasa harus menguatkuasakan undang-undang supaya dapat mengurangkan gejala vandalisme yang semakin berleluasa. Undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa haruslah berat hukumannya seperti penjara setahun atau denda lebih daripada RM1000 ataupun dikenakan kedua-duanya. Hal ini dapat menimbulkan perasaan takut dan tidak akan membuat hal seperti vandalisme. Tindakan yang tegas juga dapat menjadi satu pengajaran kepada remaja dan orang lain agar tidak membuat perkara yang sedemikiannya.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membina dan mendidik anak-anak mereka ke hala tuju yang betul. Ibu bapa juga perlu memberi tunjuk ajar tentang kepentingan harta benda awam serta menganggap harta benda orang lain adalah sama seperti harta sendiri. Secara langsung, anak-anak tidak akan melakukan gejala vandalisme disebabkan ibu bapa telah menerapkan nilai-nilaiyang sepatutnya dari kecil lagi. Selain itu, ibu bapa harus memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka supaya anak-anak mereka tidak berasa bosan dan kekosongan di hati mereka. Oleh itu, ibu bapa harus menjaga perasaan dan mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu untuk membanteras gejala vandalisme agar semua orang dapat menikmati kemudahan infrastuktur yang disediakan oleh pihak kerajaan. Walaupun masalah ini kelihatan remeh tetapi impak daripada kegiatan ini adalah sangat tinggi. Semua pihak khususnya masyarakat di negara ini perlu memainkan peranan dan bertindak segera dalam menangani gejala ini dan jangan sampai kita menyesal di kemudian hari, bak kata pepatah "Jangan sudah terhantuk barulah nak tengadah".
No comments:
Post a Comment